You are currently browsing the category archive for the ‘Harian Metro’ category.

Harian Metro – 27/05/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

fitrimusa@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya akan kuatkan semangat sekiranya keluarga saya juga berbuat begitu,” itu luahan Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 23, yang kecewa selepas dimaklumkan rayuan terakhir kesnya ditolak Mahkamah Agung Jepun, Selasa lalu.

Raja Munirah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, dekat Tokyo, selepas didapati bersalah cuba menyeludup dadah ke negara itu kira-kira satu setengah tahun lalu, didakwa mengikut Artikel 405 Kanun Prosedur Jenayah Jepun yang tidak membenarkannya mengemukakan sebarang rayuan lagi.

Wanita itu yang meluahkan perasaan sedihnya kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Risa Kumano yang melawatnya Rabu lalu, kini perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sembilan bulan bermula sejak dia ditahan 20 Disember 2006.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, berkata anak guamnya akan dipindahkan ke penjara lain di luar Tokyo dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Menurutnya, tempoh hukuman itu juga sudah mengambil kira pengurangan tempoh hukuman 50 hari yang diberikan Mahkamah Agung serta 220 hari yang masing-masing diputuskan mahkamah rendah di negara itu, sebelum ini.

“Raja Munirah juga dikehendaki membayar denda kira-kira RM40,000 dan sekiranya dia gagal membayar denda terbabit dalam masa tertentu, tempoh hukumannya akan ditambah 250 hari,” katanya.

Ketika keputusan dibacakan, Raja Munirah tidak hadir berikutan penghakiman di mahkamah itu tidak membabitkan perbicaraan, tetapi memerlukan peguam memfailkan hujahan terlebih dahulu.

Dalam hujahan rayuan Raja Munirah yang difailkan di mahkamah itu 30 Mac lalu melalui peguam Shunji Miyake yang mewakilinya, dia mengemukakan isu undang-undang membabitkan persoalan bahawa haknya dinafikan Mahkamah Tinggi Tokyo ketika mendengar kesnya kali pertama.

Miyake berhujah bahawa peguam terdahulu yang mewakili Raja Munirah bertindak sendiri dengan memberi nasihat yang salah ketika menyuruh gadis itu mengaku bersalah atas kesalahan yang tidak dilakukannya bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun katanya, hakim Mahkamah Agung mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas mendapati kesalahan dilakukan pegawai pembelaan sebelum ini hanya membabitkan pelanggaran undang-undang prosedur dan bukan hak perlembagaan.

Rosal Azimin berkata dia akan ke Jepun bersama bapa Raja Munirah untuk berbincang dengan peguam di sana mengenai usaha seterusnya yang dapat dilakukan untuk membantu Raja Munirah.

“Lagipun, saya difahamkan mungkin selepas beberapa tahun hukuman, Raja Munirah akan diberi pengampunan berikutan ini kesalahannya yang pertama, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, bapa wanita terbabit, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata dia terkejut sebaik mengetahui keputusan rayuan itu selepas dimaklumkan Shunji melalui e-mel, Jumaat lalu kerana menyangka peluang anaknya bebas adalah cerah.

“Kami sekeluarga sedih dan kecewa dengan keputusan terbabit kerana percaya Raja Munirah tidak bersalah kerana dia dianiaya. Saya tidak faham dengan sistem kehakiman negara itu.

“Ibunya pula menangis semalaman kerana terlalu sedih. Sekarang kami betul-betul rindukannya. Saya pasti Raja Munirah juga merindui kami berdasarkan surat yang dikirimnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Raja Iskandar berkata, selepas keputusan itu, dia belum menerima surat daripada Raja Munirah dan belum dapat bercakap atau bertemu anaknya, tetapi akan mengutus surat kepadanya secepat mungkin bagi mengetahui keadaan terkini wanita itu.

Walaupun menyimpan hasrat untuk ke Jepun bertemu Raja Munirah, dia terpaksa menangguhkan rancangan itu atas sebab tertentu.

“Saya akan menjenguknya di sana, tetapi buat masa ini kami sekeluarga hanya dapat mengutus surat kepadanya.

“Apapun saya anggap kejadian ini mempunyai hikmah tersendiri dan menjadi pengajaran kepada kami sekeluarga serta ibu bapa lain supaya mengambil tahu pergerakan anak mereka dan berhati-hati dengan sindiket dadah yang memperdaya wanita muda,” katanya.

Raja Iskandar berkata, dia dan isterinya tidak akan berputus asa, malah akan meneruskan usaha membebaskan anaknya dengan meminta nasihat peguam mengenai tindakan yang perlu dilakukan selanjutnya.

“Kami sudah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan Raja Munirah, termasuk melantik sekumpulan peguam di Jepun dan negara ini dan kami tidak akan berhenti di sini,” katanya.

Mimpi ngeri penuntut komunikasi massa di sebuah kolej di Cyberjaya itu bermula selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam beg yang dibawanya.

Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama ‘Milad’ yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengenepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun sebulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

Harian Metro – 27/05/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

fitrimusa@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya akan kuatkan semangat sekiranya keluarga saya juga berbuat begitu,” itu luahan Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 23, yang kecewa selepas dimaklumkan rayuan terakhir kesnya ditolak Mahkamah Agung Jepun, Selasa lalu.

Raja Munirah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, dekat Tokyo, selepas didapati bersalah cuba menyeludup dadah ke negara itu kira-kira satu setengah tahun lalu, didakwa mengikut Artikel 405 Kanun Prosedur Jenayah Jepun yang tidak membenarkannya mengemukakan sebarang rayuan lagi.

Wanita itu yang meluahkan perasaan sedihnya kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Risa Kumano yang melawatnya Rabu lalu, kini perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sembilan bulan bermula sejak dia ditahan 20 Disember 2006.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, berkata anak guamnya akan dipindahkan ke penjara lain di luar Tokyo dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Menurutnya, tempoh hukuman itu juga sudah mengambil kira pengurangan tempoh hukuman 50 hari yang diberikan Mahkamah Agung serta 220 hari yang masing-masing diputuskan mahkamah rendah di negara itu, sebelum ini.

“Raja Munirah juga dikehendaki membayar denda kira-kira RM40,000 dan sekiranya dia gagal membayar denda terbabit dalam masa tertentu, tempoh hukumannya akan ditambah 250 hari,” katanya.

Ketika keputusan dibacakan, Raja Munirah tidak hadir berikutan penghakiman di mahkamah itu tidak membabitkan perbicaraan, tetapi memerlukan peguam memfailkan hujahan terlebih dahulu.

Dalam hujahan rayuan Raja Munirah yang difailkan di mahkamah itu 30 Mac lalu melalui peguam Shunji Miyake yang mewakilinya, dia mengemukakan isu undang-undang membabitkan persoalan bahawa haknya dinafikan Mahkamah Tinggi Tokyo ketika mendengar kesnya kali pertama.

Miyake berhujah bahawa peguam terdahulu yang mewakili Raja Munirah bertindak sendiri dengan memberi nasihat yang salah ketika menyuruh gadis itu mengaku bersalah atas kesalahan yang tidak dilakukannya bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun katanya, hakim Mahkamah Agung mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas mendapati kesalahan dilakukan pegawai pembelaan sebelum ini hanya membabitkan pelanggaran undang-undang prosedur dan bukan hak perlembagaan.

Rosal Azimin berkata dia akan ke Jepun bersama bapa Raja Munirah untuk berbincang dengan peguam di sana mengenai usaha seterusnya yang dapat dilakukan untuk membantu Raja Munirah.

“Lagipun, saya difahamkan mungkin selepas beberapa tahun hukuman, Raja Munirah akan diberi pengampunan berikutan ini kesalahannya yang pertama, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, bapa wanita terbabit, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata dia terkejut sebaik mengetahui keputusan rayuan itu selepas dimaklumkan Shunji melalui e-mel, Jumaat lalu kerana menyangka peluang anaknya bebas adalah cerah.

“Kami sekeluarga sedih dan kecewa dengan keputusan terbabit kerana percaya Raja Munirah tidak bersalah kerana dia dianiaya. Saya tidak faham dengan sistem kehakiman negara itu.

“Ibunya pula menangis semalaman kerana terlalu sedih. Sekarang kami betul-betul rindukannya. Saya pasti Raja Munirah juga merindui kami berdasarkan surat yang dikirimnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Raja Iskandar berkata, selepas keputusan itu, dia belum menerima surat daripada Raja Munirah dan belum dapat bercakap atau bertemu anaknya, tetapi akan mengutus surat kepadanya secepat mungkin bagi mengetahui keadaan terkini wanita itu.

Walaupun menyimpan hasrat untuk ke Jepun bertemu Raja Munirah, dia terpaksa menangguhkan rancangan itu atas sebab tertentu.

“Saya akan menjenguknya di sana, tetapi buat masa ini kami sekeluarga hanya dapat mengutus surat kepadanya.

“Apapun saya anggap kejadian ini mempunyai hikmah tersendiri dan menjadi pengajaran kepada kami sekeluarga serta ibu bapa lain supaya mengambil tahu pergerakan anak mereka dan berhati-hati dengan sindiket dadah yang memperdaya wanita muda,” katanya.

Raja Iskandar berkata, dia dan isterinya tidak akan berputus asa, malah akan meneruskan usaha membebaskan anaknya dengan meminta nasihat peguam mengenai tindakan yang perlu dilakukan selanjutnya.

“Kami sudah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan Raja Munirah, termasuk melantik sekumpulan peguam di Jepun dan negara ini dan kami tidak akan berhenti di sini,” katanya.

Mimpi ngeri penuntut komunikasi massa di sebuah kolej di Cyberjaya itu bermula selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam beg yang dibawanya.

Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama ‘Milad’ yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengenepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun sebulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

Harian Metro – 07/12/2007

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

KUALA LUMPUR: Taktik menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dijadikan ‘modal’ sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk memerangkap seorang lagi gadis negara ini menjadi pembawa dadah di luar negara.

Sindiket menawarkan pekerjaan bergaji lumayan kepada wanita berkenaan untuk bekerja di luar negara.

Mereka turut menggunakan ejen kasanova untuk ‘membeli cinta’ daripada gadis tempatan di negara ini, termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sebelum diperdaya dengan cinta palsu.

Gadis terbabit ditawarkan kerja atau percutian eksklusif ke luar negara sebelum diminta membawa bungkusan mengandungi dadah.

Dalam kes terbaru itu, Irene Manggi, 22, dari Kuching, Sarawak, ditahan polis Sao Paolo, Brazil, kerana kesalahan membawa dadah.

Kakak mangsa, Lina Anak Manggi, mendakwa adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia.

“Ceritanya sama iaitu ditipu atau dianiaya kawan sendiri yang tanpa pengetahuannya menjadi ejen kepada sindiket dadah antarabangsa.

“Adik saya dan seorang lagi sepupu ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong. Entah bagaimana dengan begitu mudah adik saya terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit,” katanya dalam e-mel, semalam.

Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui melalui sepupunya yang berjaya melepaskan diri.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu pada Julai lalu.

“Kami berjumpa seorang wakil rakyat untuk memohon bantuan. Namun, hingga kini tiada berita yang menggembirakan dan segalanya hampa.

“Pihak kedutaan Malaysia di Sao Paolo memaklumkan adik saya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.

“Kalau diikutkan hati, kami ingin ke Sao Paolo untuk melawat adik. Namun, apakan daya, kami tidak mempunyai wang, apatah lagi untuk mengupah peguam bagi membela adik,” katanya yang mengharapkan bantuan kerajaan membantu keluarganya dari segi guaman dan kos untuk ke sana.

Menurut Lina, dia inginkan keadilan untuk adiknya yang menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Brazil ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai penahanan wanita berkenaan.

“Kami mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra,” kata seorang pegawai.

Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut kes itu seperti tarikh penahanan dan pendakwaan di mahkamah serta meminta merujuk kepada Wisma Putra.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pula baru-baru ini mendedahkan terdapat 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Akhbar melaporkan seorang gadis dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

Harian Metro – 07/12/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

KUALA LUMPUR: Keluarga Raja Munirah Raja Iskandar Shah yang ditahan bersabit kes dadah di Tokyo, Jepun, tahun lalu, memohon bantuan dan sumbangan kewangan bagi menampung kos guaman bagi prosedur rayuan terakhir kes pelajar itu dalam tempoh 10 hari lagi.

Bapa wanita itu, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata keluarganya memerlukan sumbangan RM20,000 bagi membiayai kos guaman berikutan mereka kehabisan simpanan.

“Simpanan kami sudah habis untuk membayar kos guaman dan membiayai kos sampingan lain berkaitan kes anak saya sepanjang dia ditahan. Saya amat menghargai bantuan orang ramai.

“Peguam Jepun mengenakan caj tambahan disebabkan rayuan ini dipanjangkan kepada Mahkamah Agung pula. Dia juga menggunakan khidmat dua peguam lagi untuk membantunya,” katanya.

Menurutnya, bagi perbicaraan rayuan kali ini, peguam terbabit akan mengkaji semula bukti yang ada selain menemuramah semula anaknya bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kes itu.

Raja Iskandar yang juga bekas pelajar Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Seremban berharap sesiapa yang sudi memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat milik isterinya, Karimah Mamat, 2205 9122 2126 atau menghubunginya di talian 017-2672610.

Raja Munirah, 22, (gambar) pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta kini menjalani hukuman penjara di Pusat Tahanan Kosuge di Jepun selepas didakwa cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu.

Raja Munirah mendakwa dia diperangkap seorang lelaki Iran bernama ‘Milad’ yang menawarkan pekerjaan di sebuah agensi pelancongan di Jepun.

Rayuan awal Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan, bagaimanapun ditolak pada 4 Disember lalu.

Harian Metro – 06/12/2007

KUALA LUMPUR: “Raja Munirah tidak mahu kami susah hati dengan perasaan sedihnya, sebab itu dia tidak kelihatan terkejut atau menunjukkan sebarang emosi pada kebanyakan masa sepanjang perbicaraan itu, semalam (kelmarin).

“Kami sebelum ini sudah menasihatkannya bersedia menerima apa jua keputusan rayuan kerana ada memberitahunya supaya tidak menaruh harapan tinggi dalam rayuan itu kerana tidak mahu dia kecewa,” kata bapa Raja Munirah, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48.

Raja Iskandar Shah mengulas reaksi anaknya ketika perbicaraan rayuan di Mahkamah Tinggi Tokyo, kelmarin yang menolak rayuan Raja Munirah dan hanya mengurangkan hukumannya selama 100 hari.

Sebelum ini lagi Raja Munirah sudah dimaklumkan peluang rayuannya di mahkamah itu tidak begitu tinggi berbanding rayuan seterusnya di Mahkamah Agung, nanti.

Katanya, dalam setiap surat yang dihantar mereka sekeluarga kepada Raja Munirah di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, sepanjang hampir setahun dia berada di Jepun, mereka sentiasa menasihatkan anaknya tabah dan bersabar menghadapi sebarang kemungkinan.

“Walaupun harapan Raja Munira untuk dibebaskan menggunung seperti dinyatakannya dalam ratusan surat dihantar, anak saya sebenarnya pasrah dengan keputusan berkenaan menyebabkan dia sudah lali dengan situasi genting seperti itu,” katanya.

Raja Iskandar juga menafikan dakwaan sesetengah pihak, termasuk laman blog di Internet yang mengatakan pemergian Raja Munirah ke Jepun sebelum ditahan tahun lalu adalah kerana keluarganya kesempitan wang.

“Cerita itu tidak benar kerana Raja Munirah tidak mempunyai masalah kewangan dan ketika itu saya masih mampu menyara keluarga kerana pendapatan saya sebagai pengarah projek di Sudan mencukupi.

“Malah, Raja Munirah juga mendapat biasiswa penuh daripada kolejnya dan turut dilantik menjadi duta kolej berkenaan selain aktif dalam kerja amal,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri pada mulanya berat melepaskan Raja Munirah ke Jepun berikutan itulah kali pertama anaknya ke luar negara berseorangan.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa akur permintaan Raja Munirah selepas anaknya bersungguh-sungguh mahu menimba pengalaman bekerja di sebuah agensi pelancongan di Jepun, tanpa mengetahui dia sebenarnya diperdaya lelaki Iran bernama Milad.

Bagi menjejaki Milad, Raja Iskandar berkata, dia akan meminta bantuan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan polis kerana mahu membuktikan bahawa Milad bukan individu yang direka keluarganya sebagai alasan Raja Munirah ditahan, sebaliknya lelaki terbabit memang menganiaya anaknya.

Pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan di Pusat Tahanan Kosuge, kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo.

Harian Metro – 05/12/2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa
fitrimusa@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Raja Munirah kelihatan tabah dan tenang ketika hakim menolak rayuannya. Dia langsung tidak kelihatan terkejut atau sedih apabila mendengar hukumannya hanya dikurangkan 100 hari,” kata pelajar warga Jepun di Malaysia, Aki Uehara, 28.

Aki yang menghadiri perbicaraan rayuan kes Raja Munirah Raja Iskandar, 22, di Mahkamah Tinggi Tokyo, semalam, berkata Raja Munirah yang duduk di tengah-tengah mahkamah seolah-olah bersedia menerima sebarang keputusan yang menentukan nasibnya.

Malah, dia yang dihubungi dari Tokyo, berkata Raja Munirah, pelajar tahun dua ijazah komunikasi massa di sebuah kolej swasta itu, hanya berdiam diri sepanjang perbicaraan rayuan di hadapan tiga hakim itu.

“Selama hampir setengah jam perbicaraan rayuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang emosi,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Menurutnya, Raja Munirah yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dibawa ke mahkamah oleh anggota polis dengan tangannya digari.

“Perbicaraan rayuan itu tidak mendapat liputan media massa di Tokyo kerana banyak kes membabitkan warga asing dibicarakan di Jepun,” katanya yang pulang ke Tokyo baru-baru ini untuk bercuti.

Aki adalah pelajar peringkat sarjana dalam pengajian muzik di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

Dia mengetahui kes yang dihadapi Raja Munirah selepas membaca laporan di MyMetro bulan lalu menawarkan diri untuk menyampaikan maklumat perbicaraan rayuan itu kepada wartawan Harian Metro.

Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah yang dipenjara di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, tahun lalu.

Perbicaraan rayuan berkenaan dikendalikan Nishiguchi, seorang peguam dari negara matahari terbit itu.

Peguam Raja Munirah di negara ini, Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi, berkata mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara tujuh tahun tiga bulan.

Menurutnya, mahkamah mempertikaikan laporan forensik siber dikemukakan peguam, termasuk berkaitan data SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa tertuduh sebagai orang yang menganiayainya.

“Mahkamah juga mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihannya,” katanya akan memfailkan rayuan seterusnya melalui peguam di Tokyo kepada Mahkamah Agung dalam tempoh 10 hari.

“Raja Munirah mempunyai peluang lebih baik di Mahkamah Agung kerana mahkamah itu biasanya membuat penelitian lebih terhadap prosedur dan isu undang-undang yang mengambil kira bukti baru yang dikemukakan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta reaksinya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Tokyo, ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 46, berkata, dia sedih apabila mendapat tahu keputusan rayuan anaknya itu.

“Saya seolah-olah tidak percaya kerana walaupun bukti diberikan mencukupi, pihak mahkamah di Jepun masih tidak menerimanya.

“Memang saya sakit hati kerana mereka hanya mengurangkan tempoh hukuman 100 hari. Apapun, saya reda kerana bersedia menerima apa saja keputusan.

“Saya dan keluarga tidak akan berputus asa dan sentiasa berusaha hingga berjaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Buloh, malam tadi.

Walaupun sedih, dia percaya apa yang berlaku ke atas Raja Munirah mempunyai hikmah tersendiri selain bersyukur kerana anaknya masih selamat dan kerap berutus surat dengannya dari penjara.

Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, pula mengatakan dia pasrah dengan keputusan itu dan bertekad membawa kes itu ke Mahkamah Agung di Jepun supaya Raja Munirah dapat diberi pembelaan sewajarnya.

Dia akan menghubungi peguam anaknya di Jepun untuk memintanya memohon lanjutan tempoh memfailkan rayuan kedua itu bagi membolehkan mereka mengumpul bukti yang lebih kukuh.

“Saya akan berbincang dengan peguam di Malaysia dan rakan yang selama ini memberi sokongan kepada saya bagi membincangkan tindakan yang akan diambil selepas ini,” katanya.

Harian Metro – 05/12/2007

PASIR PUTEH: Selepas hampir setahun tanpa khabar akhirnya sebuah keluarga di sini, menerima berita buruk mengenai anak perempuan sulung keluarga itu yang ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu pada 19 Januari lalu.

Lebih memilukan, menerusi sepucuk surat kepada Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, dikatakan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.

Ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata anaknya itu diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

“Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan dijatuhi hukuman mati.

“Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama ‘UG’ sebaik tiba di Shantou (China) apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand),” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis di sini, semalam.

Umi Slaia berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk di bagasi anaknya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Anas’ di ibu negara.

Menurutnya, disebabkan anaknya fasih berbahasa Inggeris, beliau dipilih syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara.

“Sebelum ini Umi selalu menelefon saya sehinggalah terputus hubungan sejak Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan Umi Azlim, Umi Slaia pergi ke Jabatan Imigresen Kelantan di sini untuk membantu tetapi telah diminta merujuk kes itu ke Wisma Putra.

“Dia sanggup buat kerja yang susah asalkan dapat bantu, keluarga dan kehilangan tanpa berita ini sangat merunsingkan kami,” katanya.

Perkongsian hidup Mohamad Lazim dan Umi Slaia dikurniakan enam cahaya mata iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Adik Umi Azlim, Mohamad Azlizan kini belajar di Universiti Medan dan yang lainnya masih bersekolah kecuali Mohamad Azkairunaim, 20, yang bekerja.

Keluarga ini mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mereka untuk mendapatkan peguam bagi Umi Azlim untuk membuat rayuan itu.

“Saya dan isteri hendak sangat berjumpa Umi Azlim di Penjara Guangzhou, tetapi kami orang susah apatah lagi nak dapatkan peguam.

“Kami nak dengar sangat apa cerita sebenar yang berlaku dan saya berharap rakyat Malaysia tolonglah kami terutama anak kami sedang berdepan dengan maut,” katanya.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan menyeludup dadah di Jepun. Dia kini membuat rayuan terhadap hukuman itu. – Bernama

Harian Metro – 21/10/2007

Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Bagi dua ibu, Sharifah Marina Syed Hamzah dan Karimah Mamat, Aidilfitri disambut dengan penuh duka apabila anak gadis mereka, Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, dan Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, kedua-duanya mesra dengan panggilan Along, kini meringkuk dalam tahanan di luar negara kerana dituduh cuba menyeludup dadah. Ikut rintihan mereka menyambut lebaran kali ini.

Anak minta bantuan ibu

KUALA LUMPUR: “Mama, Along terseksa sangat… Along tak tahan (ada di sini). Mama, tolonglah Along. Beritahu Duta (Malaysia di Caracas, Venezuela) datanglah lawat Along di sini. Suruhlah peguam datang bantu Along.”

Itu rintihan Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, rakyat Malaysia yang didakwa menyeludup dadah dan ditahan pihak berkuasa Trinidad and Tobago pada 14 Jun lalu ketika menghubungi ibunya, Sharifah Marina Syed Hamzah, 38.

Menurut Sharifah Marina, Wan Lidiawati yang dipanggilnya Along membuat panggilan telefon itu menjelang Ramadan lalu dan mereka hanya sempat berbual beberapa minit dan dalam keadaan tergesa-gesa.

Katanya, Wan Lidiawati yang kini ditahan di Penjara Wanita Trinidad Golden Grove memberitahu, panggilan telefon itu dibuat ketika dia di mahkamah atas ihsan individu yang bersimpati dengan nasib menimpanya.

“Saya tidak dapat mengingati tarikh sebenar Along menghubungi saya, tetapi yang saya ingat hanya keadaannya ketika itu.

“Along menangis dan dalam keadaan ketakutan dia merayu supaya dibantu. Dia turut menceritakan masalah dihadapinya, terutama masalah komunikasi berikutan penggunaan bahasa Inggeris di penjara tempat dia ditahan sangat terhad,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sharifah Marina berkata, ketika mendengar rintihan anaknya, dia hanya mampu menangis kerana buntu memikirkan bagaimana hendak membantu.

Katanya, dia sekadar mampu menyuruh anaknya supaya banyak bersabar dan bertawakal kepada Allah.

“Sebagai ibu, saya tidak akan berputus asa membantu Along. Bagaimanapun, ketika ini saya buntu kerana semua usaha menemui jalan buntu.

“Kalau saya orang senang, saya pergi saja ke negara itu (Trinidad and Tobago), bawa peguam dan selesaikan kesnya. Namun, semua itu tidak mampu saya lakukan,” katanya.

Menurut Sharifah Marina, dia bukan saja buntu bagaimana hendak membantu anaknya, tetapi pada masa sama buntu memikirkan nasib anaknya.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan anak saya, sama ada dia bersalah atau tidak, bila perbicaraan dia dan di mana dia ditahan. Saya bergantung harap kepada Wisma Putra yang berjanji memantau perkembangan anak saya, tetapi ketika bertanya perkara itu, reaksi diterima tidak seperti dijanjikan.

“Jika begitu, saya tidak tahu kepada siapa lagi saya boleh mendapatkan bantuan,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata, dalam suasana sambutan Aidilfitri, dia sentiasa dibayangi tangisan dan suara ketakutan anak sulungnya.

Kata Sharifah Marina, dia sentiasa terbayang suasana ceria yang dicetuskan anak sulung daripada enam beradik itu setiap kali menyambut Aidilfitri sebelum ini.

“Ini kali pertama kami sekeluarga menyambut Aidilfitri tanpanya (Along). Memang Aidilfitri tahun ini tiada maknanya bagi kami.

“Dulu, Along penyeri Aidilfitri kami. Dia yang memilih baju raya adiknya, membuat kuih raya dan menyediakan semua persiapan Aidilfitri,” katanya.

Kisah Wan Lidiawati mendapat liputan meluas sebelum ini. Remaja itu ditahan ketika cuba meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tobago Crown Point bersama 2.197 kilogram kokain dalam beg pakaian yang dibawanya.

Jika sabit kesalahan, undang-undang di negara berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan terhadap pengedar dadah.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di Caracas, Venezuela dilaporkan akan memantau perkembangan dan bantuan yang diperlukan remaja itu, manakala peguamnya, Monaharan Malayalam mendakwa mangsa dianiaya kerana tidak tahu dadah disembunyikan dalam beg yang dibawanya dan terkejut apabila polis menahan serta membuat pemeriksaan.

Sharifah Marina sebelum ini dilaporkan berkata, dia tidak tahu bagaimana anak sulungnya boleh ada di sana dan hanya tahu dia ditahan polis selepas menerima panggilan telefon daripada mangsa pada 14 Jun bagi memaklumkan penahanannya.

Dia juga percaya anaknya tidak bersalah, terutama selepas menerima surat daripada anaknya yang meminta tolong kerana dia dianiaya.

Antara kandungan surat itu: “Along kena tipu, culik dan aniaya… mama tolong buat report polis.”

Katanya, dalam surat itu anaknya mendakwa ditipu seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Siti.

Pada masa sama, bapa Wan Lidiawati, Abdul Majid Md Haniff, 45, turut yakin anaknya tidak bersalah. Abdul Majid berpisah dengan Sharifah Marina pada 2005.

Wan Lidiawati dilaporkan dibicara pada 21 Ogos lalu, tetapi tiada khabar berita mengenainya selepas itu.

Baju pengubat rindu

KUALA LUMPUR: “Bagi kami sekeluarga, Aidilfitri kali ini tidak membawa apa-apa erti, malah tidak melakukan persiapan sehingga kami tak mahu kuih raya dibawa masuk ke rumah.

“Kami juga sering ternampak kelibat Along sibuk menguruskan persiapan hari raya, selain gembira membawa adiknya berjalan,” kata Karimah Mamat, 46, ibu kepada Raja Munira Raja Iskandar Shah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.

Raja Munira, 22, pelajar tahun dua sebuah kolej swasta dalam jurusan Pengajian Komunikasi, ditahan berseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, 20 Disember lalu, atas tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, enam bulan di negara itu atas tuduhan berkenaan. Begitupun, mangsa mendakwa tidak bersalah kerana diperdaya seorang lelaki Iran dikenali dengan nama ‘Milad’ memintanya membawa sebuah beg tanpa mengetahui kandungannya.

‘Milad’ tidak mengikut Raja Munira ke Jepun, sebaliknya hanya menghantar rakannya menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yang lebih membimbangkan Karimah, Raja Munira menghadapi masalah kesihatan, selain terlalu tertekan sehingga terpaksa bergantung kepada pil tidur untuk melelapkan mata.

Disebabkan itu, berat badan anak sulungnya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut mulai gugur kesan pengambilan pil tidur berkenaan.

Karimah berkata, sejak Raja Munira yang dipanggilnya Along ditahan 20 Disember lalu, dia langsung tidak berpeluang melihat wajah anaknya, apatah lagi berbual dengannya yang kini di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.

“Kami sangat bimbangkan kesihatan Along. Selain mudah muntah darah kesan kemalangan lima tahun lalu, berat badannya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut gugur kesan pil tidur yang diambil,” katanya.

Karimah berkata, sebagai ibu, dia tidak terdaya menanggung kesedihan dan kerinduan yang teramat sangat, malah tidak sabar untuk menemuinya.

“Sejak Along ditahan, kami sekeluarga sangat sedih, saya sukar melelapkan mata atau menjamah makanan, manakala anak bongsu saya, Raja Daniel yang paling manja dan rapat dengan Along selalu bertanya bila Along balik.

“Dia kerap demam kerana teringatkan Along, malah bila nampak kapal terbang di udara, dia akan kata along sudah balik.

“Saya berharap satu hari nanti dapat berjumpa Along, sejak ditahan kami tak pernah jumpa kerana kos untuk ke sana sangat tinggi, apatah lagi saya tidak bekerja,” katanya sambil menitiskan air mata.

Menurut Karimah yang tinggal di Sungai Buluh, dekat sini, untuk menghilangkan rindu, keluarganya kerap berutus surat hampir setiap hari, selain menghidu pakaian yang digunakan Along yang tidak dibasuh sehingga ke hari ini sehari sebelum dia ke Jepun.

Lebih menyayat hati, Raja Munira melepaskan kerinduan dengan Daniel, 3, melalui cara melihat kesan tapak tangan adiknya yang dilekap di atas kertas.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari kami menerima surat along sebanyak lima muka surat dan selepas itu, adik-beradiknya akan membalas. Di dalamnya, Along melukis gambar adik, selain memberitahu keadaan di sana.

“Kata Along, dia sangat bosan kerana duduk di dalam bilik tahanan bersama seorang tahanan rakyat Jepun. Dia bercakap dengan dinding dan kertas yang diberi untuk menulis surat.

“Saya sangat sedih apabila Along beritahu hendak surah Yasin, al-Quran dan baju kurung putih untuk digunakan tidur malam. Begitupun, kami kirim baju kurung berbunga,” katanya.

Menceritakan aktiviti Raja Munira sepanjang bulan puasa, Karimah berkata, Along berjaya khatam al-Quran, namun dia sedih dan terkilan apabila anak sulungnya terpaksa bersahur dan berbuka sendirian.

“Along berbuka dengan sedikit nasi yang diberi dan nasi itu diambil sedikit lalu digumpal dan disimpan di dalam baju untuk bersahur. Sepanjang hari, dia membaca al-Quran, surah Yasin serta menulis surat, itu rutin hariannya,” katanya.

Mengenai sambutan hari raya baru-baru ini, Karimah berkata, ia tidak membawa apa-apa erti selepas ketiadaan along kerana anaknya adalah orang paling sibuk menjelang hari lebaran.

“Pada hari raya, Along suka masak roti jala dan kari kerana itu makanan kegemarannya, malah melalui surat yang dikirim, dia teringin sangat menjamah makanan itu.

“Selain itu, Along suka nasi dagang, hari raya memang ini menu yang mesti ada, namun semuanya tidak bermakna tahun ini kerana ketiadaannya,” katanya.

Ditanya adakah Raja Munira terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, Karimah berkata, anaknya tidak akan berbuat demikian, malah dia kenal siapa anaknya.

“Saya kenal anak saya, dia diperdaya lelaki Iran itu, memang saya tak sangka begini jadinya. Along anak yang baik, malah dia cemerlang dalam akademik dan rapat dengan keluarga.

“Dia bukan suka bersosial, malah bila tiada kuliah, dia akan duduk di rumah atau keluar dengan adik-beradiknya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lelaki Iran itu, Karimah berkata, Along mengenali Milad hampir setahun setengah, malah mereka sekeluarga pernah bertemu lelaki berkenaan.

“Milad menuntut di sebuah universiti di sini, sambil itu dia menjalankan perniagaan kereta sewa untuk pelajar. Along mengenalinya melalui kereta sewa, malah dia sering menghantar kereta sewa ke rumah kami apabila diperlukan.

“Dia yang menjanjikan Along pekerjaan di Jepun dan beria-ia membawa Along ke sana, malah beg pakaiannya juga dibelikan.

“Pada mulanya sukar untuk saya izinkan, tetapi melihatkan Along bersungguh-sungguh dan dia sudah ambil cuti satu semester untuk bekerja, saya mengalah.

“Selepas kejadian itu, Milad ada di sini dan kini dipercayai di Indonesia. Dia terlepas, tetapi anak saya masih ditahan di sana,” katanya sedih.

Ibu kepada lima cahaya mata itu meminta kerajaan Malaysia membantu membebaskan Raja Munira.

Sementara itu, peguam bela yang diupah keluarga gadis malang itu, Rosal Azimin Ahmad, berkata pihaknya akan ke Jepun, November ini, untuk membuat rayuan ke atas hukuman yang dijatuhkan kepada Raja Munira.

Katanya, peluang rayuan itu ada kerana dalam perbicaraan sebelum ini, ada bukti tertentu tidak dimasukkan, selain Raja Munira mendakwa diminta mengaku salah bagi memudahkan kes itu.

“Dalam perbicaraan itu, Raja Munira dinasihatkan peguam belanya di Jepun, Sato untuk mengaku bersalah jika ingin mendapat hukuman ringan, tetapi ada bukti lain tidak dimasukkan.

“Jadi, pertengahan November ini saya akan ke sana bersama beberapa bukti untuk membuat rayuan,” katanya.

Sehubungan itu, Karimah memohon sumbangan rakyat Malaysia supaya dia bersama peguam belanya dapat ke Jepun untuk membuat rayuan kes anaknya di Mahkamah Tinggi Jepun.

“Dianggarkan kos keseluruhannya antara RM200,000 ke RM300,000 dan kami hanya ada tidak sampai sebulan lagi untuk mengumpul wang ini kerana ia dijangka diadakan pada 15 November ini.

“Selain itu, setiap bulan kami mengirimkan RM300 untuk Along membeli keperluan diri sepanjang di sana,” kata Karimah.

Justeru, Karimah memohon supaya ada pihak sudi membantu dan sumbangan boleh dibuat sama ada menghubungi pejabat Rosal di 03-21645555, 03-21641557 atau akaun Ambank, 066-201-200537-9.

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Blog Stats

  • 9,216 hits