Utusan Malaysia – 01/03/2008

Oleh: ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 29 Feb. – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya empat lelaki Afrika yang dikatakan menipu ramai rakyat Malaysia terutama gadis Melayu.

Lelaki-lelaki Afrika itu dikatakan terlibat dengan sindiket yang mengupah wanita Malaysia menjadi penyeludup dadah yang dipanggil ‘serbuk emas’ di luar negara.

Selain suspek warga Afrika berusia 30 hingga 45 tahun itu, seorang wanita tempatan berumur 40-an turut ditahan dalam satu operasi khas di Petaling Jaya, Selasa lalu.

Serbuan pada pukul 7.30 malam itu dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Selangor di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Turut dirampas ialah heroin seberat 3.11 kilogram bernilai kira-kira RM1.7 juta dan sebuah kenderaan jenis Suzuki Vitara milik salah seorang warga Afrika terbabit.

Sindiket pengedaran dadah di negara ini yang didalangi warga Afrika pernah dibongkar Utusan Malaysia bulan lalu.

Kumpulan penjenayah itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes penahanan warga Malaysia di luar negara termasuk pemain deram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad, 42, atau lebih dikenali sebagai Ringgo yang sedang ditahan penjara Venezuela.

Kes sama yang turut mendapat perhatian sebelum ini ialah penahanan pelajar kolej, Raja Munirah Raja Iskandar di Jepun dan Wan Lidiawati Abdul Majid di Trinidad and Tobago.

Sehingga kini, 96 rakyat Malaysia, kebanyakannya wanita dan pelajar, ditahan di luar negara kerana kes dadah. Sebahagiannya di Venezuela, Peru, Argentina dan China.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin berkata, beliau yakin penahanan lima suspek itu minggu ini dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan modus operandi memperdayakan rakyat tempatan terutama pelajar wanita untuk menjadi pembawa dadah di luar negara.

“Kesemua warga Afrika Barat itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di sini manakala wanita tempatan itu seorang suri rumah.

“Polis sedang siasat kaitan mereka dengan 96 kes rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa negara luar sebelum ini,” kata Zul Hasnan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.